about
● archives
10 December 2019
Persis Bintang @ 17:54
‘Kau datang dengan nama kasih…
hadir dirimu umpama mutiara yang tersembunyi di perut tiram yang paling dalam.
Puas diselam ke serata lautan, hanya dirinya kutemui dengan cahaya keindahan.
Kau datang dengan nama sayang.
semakin hari aku mengira buih-buih kasih…semakin kerap cinta ini bertamu.
Kau datang dengan nama cinta.
di segenap lapisan sutera jiwa, dirimu sering menari-nari di ruang mataku.
Sekali terkerdip, bayangan wajahmu…membusar di tasik asmara.
Kau datang dengan nama kekasih.
Dirimu persis bintang dan anugerah yang terindah…tanpa sentuhan kasihmu…
seharian jiwaku dipalit keresahan…Kau sentiasa di hati, Min Yeji.’
Buku nota kecil dihadapannya disentuh lembut seraya pen di genggamannya diletakkan di atas meja. Senyuman tipis mula menghiasi wajah kacaknya tatkla dia membaca semula setiap untaian kata yang baru sahaja dikarangnya itu. Seketika kemudian, dia melebarkan pandangan ke segenap ruangan perpustakaan sebelum kedua-dua bola matanya mendarat ke arah jam tangan yang meliliti pergelangan tangan kanannya itu. Enggan untuk menanti lebih lama, dia akhirnya bangun dari tempat duduknya sebelum jemarinya sibuk memasukkan beberapa buah buku rujukan yang berselerakan di atas meja ke dalam beg sandangnya. Setelah memastikan tiada lagi barang-barang miliknya di atas meja tersebut, dia kemudian menyentuh lembut bahu lelaki yang sedang duduk di hadapannya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada bahan bacaannya itu bersama satu senyuman tipis.
“Namjoon-ah…” Dia menyeru nama lelaki itu dengan nada perlahan, hampir tidak dapat didengari oleh lelaki itu dengan jelas. Spontan, lelaki di hadapannya itu segera mengangkat muka sebelum anak matanya bertembung dengan anak mata lelaki itu yang mula kelihatan resah dan gelisah. Kim Namjoon mengerutkan keningnya, menandakan yang dia memerlukan penjelasan mengapa tumpuannya diganggu pada saat dan ketika itu.
“Aku…kena pergi sekarang.”
“Sekarang? Yah, Park Jimin…bukan ke kau cakap semalam yang kau tak perlu buat kerja sambilan tu hari ni? Jangan paksa diri sangat, tolonglah…”
“Sepatutnya memang macam tu, tapi…aku betul-betul kena pergi juga. Kau pun tahu kan yang aku dah tak ada banyak masa lagi yang tinggal. Aku cuma ada dua minggu lagi je. Namjoon-ah…kau tahu apa yang aku maksudkan kan…?” Jimin menjawab lembut, betapa dia berharap yang Namjoon akan memahami situasi yang dia hadapi sekarang. Sejujurnya, tidak pernah terdetik waima sebesar zarah sekalipun yang dia sebenarnya sedang memaksa diri untuk melakukan apa yang sedang diusahakannya sekarang. Jimin melakukannya dengan seikhlas dan serela hatinya demi insan tersayang yang bergelar kekasih, jadi mengapa perlu dia berasa terpaksa? Tidak sama sekali.
“Yeji tahu ke pasal hal ni? Tak kan? Sekurang-kurangnya jelaskanlah pada dia, dia mungkin akan salah faham kalau kau berterusan macam ni. Kau terlalu mengabaikan dia sejak akhir-akhir ni. Mesti dia akan salah anggap yang kau dah tak pedulikan dia lagi. Sebenarnya, dia memang ada mengadu, dia kesunyian dan kecewa bila kau tak hiraukan dia.” Namjoon meningkah dalam keluhan. Sebagai sahabat kepada Park Jimin dan Min Yeji, Namjoon tidak dapat membuang rasa bimbangnya terhadap hubungan yang terjalin di antara Jimin dan Yeji dan yang paling menyesakkan dada, Namjoon adalah insan yang selalu tersepit di antara hubungan cinta mereka berdua.
“Aku tahu aku banyak abaikan dia sejak akhir-akhir ni, sebab tulah aku nak kau tolong aku jagakan dia. Kau pun tahu aku buat semua ni untuk dia dan kau juga tahu yang aku sayangkan dia sepenuh hati ini, tak mungkin aku tak ambil berat pasal Yeji.” Jimin kembali melabuhkan pinggul di kerusinya tadi, pandangannya tepat menyasar ke arah Namjoon. Sejujurnya, dia tidak pernah menyangka yang niat baiknya itu akan bertukar menjadi satu salah faham yang membuatkan hubungannya dengan Yeji sedikit dingin dan menjauh.
“Jimin-ah…hentikanlah semua ni, aku tak rasa yang ini semua boleh buat Yeji bahagia. Dia perlukan kau lebih dari segalanya.”
“Namjoon-ah…”
“Hentikan semua ni… sebelum salah seorang daripada kita terluka, terutama sekali Yeji!”
“Tak ada sesiapa yang akan terluka, aku janji! Tolonglah, jagakan dia untuk aku…” Jimin merayu sebelum Namjoon akhirnya mengangguk lemah tanpa sebarang pilihan. Itulah apa yang Namjoon lakukan sejak beberapa minggu yang lepas; mengambil berat akan kekasih hati orang lain lebih daripada apa yang sepatutnya dia lakukan. Namjoon meraup wajahnya dalam kekeliruan. Dia sebenarnya sangat takut; takut sekiranya dia tewas dalam mengawal emosi dan perasaannya sendiri. Seandainya dia tewas dalam pergelutan emosi dan perasaannya sendiri, Yeji adalah insan yang akan paling terluka. Hubungan cinta di antara Jimin dan Yeji yang sedang mekar mungkin akan musnah sekiranya dia gagal mengawal segala macam perasaan dan emosi peribadinya. Sanggupkah dia menjadi pemusnah kisah cinta Yeji dan Jimin?
Melihatkan Namjoon akhirnya mengangguk dan menurut seperti selalunya, Jimin akhirnya mengukir senyuman kelegaan. Hatinya dipalit sedikit ketenangan dengan anggukan dari lelaki yang sebenarnya tua setahun dari usianya itu. Jimin bingkas bangun dan berkira-kira untuk meninggalkan perpustakaan itu. Namun, langkah kakinya sekali lagi terhenti apabila gemersik suara gadis yang mengucapkan namanya dengan lembut tiba-tiba kedengaran, menyapa rongga pendengaran Jimin dan Namjoon.
“Park Jimin...”
“Y-Ye…Yeji-ah…” Sama ada Namjoon mahupun Jimin, kedua-dua mereka kelihatan sama-sama terkedu dengan kehadiran Min Yeji secara tiba-tiba di situ. Jimin mengerling sekilas ke arah Namjoon sebelum pendangannya kembali terarah pada wajah sugul Yeji yang berdiri tegak di hadapan Jimin dan Namjoon. Suasana dingin mula menyerbu dari segenap ruangan perpustakaan itu. Dalam diam, Jimin sedang berkira-kira untuk melenyapkan dirinya dari perpustakaan itu secepat mungkin. Dia sudah lewat 15 minit untuk kerja sambilannya dan dia tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan tempat itu secepat mungkin!
“Yeji-ah…maaf, aku kena pergi sekarang. malam ni aku telefon kau, hmm..?” Jimin cepat-cepat bersuara seraya mendekati gadis itu dan menghadiahkan ciuman hangat di dahi Yeji. Belum pun sempat Yeji mengucapkan sebarang kata, Jimin sudahpun berlari anak keluar dari situ tanpa sedikitpun menoleh ke belakang. Yeji hanya mampu mengeluh berat. Sesungguhnya…perasaan kecewa, sakit hati dan marah dengan sikap Jimin yang tidak lagi mempunyai masa untuk diluangkan bersamanya sudah hampir memenuhi ruang rasanya. Dia sendiri tidak tahu apa dan mengapa Jimin tiba-tiba menjarakkan hubungan mereka, malah lelaki itu langsung tidak berusaha untuk menjelaskan situasi sebenar kepadanya.
“Nampaknya, hubungan aku dan Jimin dah berubah sepenuhnya. Dulu, Jimin selalu cakap yang dia akan selalu ada untuk aku. Tapi sekarang, bila aku paling perlukan dia…apa yang dia buat adalah tolak aku ketepi. Dia…dah mula bencikan aku, kan…Namjoon?” Yeji berusaha menahan air mata dari melewati pipinya. Namjoon yang masih diam membisu di sisinya ditenung dengan lirikan yang sayu. Namjoon pantas menggeleng, menidakkan tanggapan negatif terhadap Jimin yang mula menguasai Yeji. Namjoon benar-benar mahu Yeji percaya yang setiap kali Jimin mengucapkan kata cinta dan sayang kepada Yeji, Jimin benar-benar maksudkan setiap baris kata yang diucapkannya. Dia benar-benar mahu menjelaskan situasi sebenar mengenai apa sebenarnya yang Jimin lakukan tetapi sayang, dia sudahpun berjanji kepada Jimin untuk tidak menceritakan apa-apa kepada Yeji. Bagi Jimin, semua itu mesti disimpan sebagai kejutan.
Namjoon mengambil beberapa langkah mendekati Yeji. Setiap kali matanya menangkap riak kecewa di wajah cantik Yeji, betapa dia ingin berlari ke arah gadis itu; menenangkan Yeji dalam pelukan hangatnya dan melindungi dia dari sebarang kelukaan. Tetapi, itu bukanlah tempatnya. Dia bukanlah sesiapa di mata Yeji, dia tidak lebih dari seorang sahabat yang juga tempat untuk dia mencurahkan kelukaan hati tatkala Jimin tiada di sisinya. Jimin berhak sepenuhnya ke atas setiap senyuman dan air mata gadis itu, bukan Namjoon…bukan Kim Namjoon.
“Yeji, kau tahu kan yang Jimin betul-betul sayangkan kau…” Namjoon membalas lembut, cuba untuk menenangkan Yeji.
Yeji hanya kelu tanpa kata tatkala jemari Namjoon mengusap kepalanya dengan lembut. Dia sedar, Namjoon cuma mahu menenangkan dirinya dengan berkata demikian. Yeji lambat-lambat menganggukkan kepala sebelum tunduk memandang lantai, berpura-pura yang hatinya mudah dirawat dengan kata-kata Namjoon meskipun jiwanya mula meronta dan meragui akan erti sebenar perkataan sayang yang Jimin ucapkan kepadanya sejak akhir-akhir ini. Hanya selepas beberapa saat berlalu, Yeji kembali mengangkat wajah memandang ke arah bola mata Namjoon yang bersinar menikam anak matanya. Seolah-olah terkena renjatan eletrik, jantung Yeji tiba-tiba berdegup kencang; bukan kerana dia gerun dengan pandangan mata Namjoon yang tajam menikam, tetapi kerana Namjoon adalah Kim Namjoon. Yeji dapat merasakan jiwanya semakin diulit ketenangan dengan kehadiran Namjoon, dia sentiasa ada untuk menenangkan hati Yeji dan mengambil berat terhadapnya.
Menyedari riak wajah Yeji tidak lagi sekeruh tadi, Namjoon mengukir senyuman lebar; membentuk lekukan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Seakan terpukau dengan senyuman Namjoon, Yeji semakin berani melawan panahan mata lelaki di hadapannya itu. Setiap inci wajah Namjoon ditelitinya. Kemeja hitam Namjoon yang tidak dibutangkan di bahagian paling atas membuatkan Yeji dapat menangkap dengan agak jelas bayangan otot dadanya yang agak terdedah dan ia hanya membuatkan Yeji semakin hilang arah serta tidak keruan. Cuba meraih kembali akal warasnya yang sudah melayang jauh, Yeji cepat-cepat menggelengkan kepala seraya mencubit perlahan kedua belah pipinya sendiri.
“Yeji…kau okay ke?” Soal Namjoon, pelik dengan tingkah Yeji yang spontan itu.
“Huh? Oh, ya…aku okay.” Yeji menjawab dalam nada yang gugup dan gemuruh, cuba mengelak untuk kembali bertentang mata dengan Namjoon. Senyuman manis Namjoon masih lagi menghiasi wajahnya. Tanpa sebarang paksaan, hati Namjoon mula berbisik; bisikan yang bersulam dengan rasa bersalah. Dia cukup jelas yang dia tidak sepatutnya berperasaan sedemikian, tetapi…
‘Yeji, hati kau…adakah mustahil untuk hati kau mencintai dua lelaki dalam masa yang sama? Kenapa aku mula rasa takut untuk kehilangan kau…sedangkan kau bukan milik aku? Tolong…tolong katakan pada aku yang kau tak rasakan seperti apa yang aku rasa sekarang. Hanya dengan cara tu, barulah aku boleh lepaskan kau dan perasaan ni…barulah aku boleh biarkan kau bahagia dengan Park Jimin. Aku…cintakan kau, Min Yeji.’

Hujung minggu itu adalah antara hujung minggu yang paling indah dalam hidup Jimin. Dengan berakhirnya beberapa minggu yang memenatkan, Jimin berasa sangat lega dan gembira kerana apa yang dirancangnya sebelum ini berjalan dengan cukup sempurna. Hanya satu sahaja hal yang belum selesai; dia mesti bertemu dengan Yeji yang sudah dua minggu tidak ditemui pada hari itu, mesti! Dia benar-benar merindui kehadiran gadis kesayangannya itu di dalam hidupnya. Sambil mengatur langkah menuju ke arah kawasan perumahan yang didiami Yeji, tangan kanan Jimin menyeluk poket seluarnya sebelum Jimin mengeluarkan seutas rantai emas putih yang indah terletak di dalam sebuah kotak kecil yang diperbuat daripada Kristal. Di tangan kirinya pula, kelihatan sejambak bunga baby’s breath yang digubah kemas bersama lilitan tali ribbon yang berwarna ungu; itulah bunga kegemaran Yeji.
Bersama kuntum-kuntum senyuman yang mekar menghiasi wajah cerianya, Jimin meletakkan kembali rantai tersebut ke dalam kotak sebelum menutupnya dengan penuh berhati-hati. Dia sudah tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya lagi, senyumannya semakin lebar seraya langkahnya dipercepatkan. Sejak beberapa minggu lepas, Jimin sibuk bekerja sebagai pelayan restoran separuh masa dan dengan gaji yang diperoleh melalui kerja kerasnya sendiri itulah, Jimin berjaya membeli seutas rantai yang dibuat dari emas putih untuk diberikan sebagai hadiah hari ulang tahun kelahiran Yeji hari ini. Namjoon pernah menawarkan sedikit wang untuk dipinjamkan, tetapi Jimin segera menolak dengan tegas.
Jimin masih ingat lagi bagaimana kerasnya Namjoon cuba meningkah niatnya untuk berkerja secara sambilan dek kerana risau Jimin tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama Yeji…dan sangkaan Namjoon benar belaka, dia memang tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama Yeji sejak dia sibuk bekerja. Namun, Jimin menganggap semua itu adalah satu pengorbanan dan risiko untuk dia meraih kebahagiaan bersama Yeji.
Sudahpun berada berhampiran dengan kawasan perumahan yang didiami Yeji, Jimin berlari sepantas mungkin sebelum langkah kakinya tiba-tiba terhenti tidak jauh dari pintu pagar utama kediaman Yeji. Matanya terbuntang luas apabila menangkap dua figura manusia yang sedang berdiri di hadapan pintu kediaman tersebut. Jantungnya mula berdegup kencang dan menggila. Kotak kecil yang masih digenggamnya erat sejak tadi kini sudah jatuh menyembah ke bumi.
Matanya dipejamkan rapat-rapat, nafasnya semakin sesak dan peluh dingin mula membasahi dahi dan lehernya. Sedetik…dua detik…tiga detik…Jimin kembali membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Dengan langkah yang semakin lemah dan berat, Jimin menapak menghampiri kediaman tersebut, dia tidak mahu tersalah membuat kesimpulan, dia mesti mendapatkan penjelasan yang konkrit! Hancur luluh hatinya apabila menyedari yang dia sebenarnya tidak salah lihat; berdiri di hadapannya kini adalah Yeji dan Namjoon yang sedang hanyut di dalam pelukan hangat masing-masing. Kepercayaan yang dibina terhadap dua insan dihadapannya itu telah hancur berkecai dalam sekelip mata.
“J-ji..Jimin-ah!” Yeji terkesima tatkala menyedari kehadiran Jimin di pintu pagar kediamannya itu. Sepantas kilat, jari jemarinya yang digenggam erat oleh Namjoon, Yeji rentap kasar. Pelukan lelaki itu yang menghangatkan tubuh kecilnya segera dileraikan. Namjoon benar-benar terpempan dengan kemunculan Jimin di situ, sejak pertemuan terakhir mereka di perpustakaan dua minggu lepas, Jimin tidak lagi bertemu dengan Namjoon. Hanya mesej dan panggilan telefon yang menjadi menyambung persahabatan mereka. Perasaan bersalah mula memburu diri Namjoon; kepercayaan yang Jimin titipkan kepadanya sudahpun Namjoon khianati dalam sekelip mata. Tiada sebarang kata-kata daripada Jimin, Yeji mahupun Namjoon yang kedengaran buat beberapa seketika. Masing-masing kelihatan terlalu terkesima dengan apa yang baru sahaja menghimpit mereka.
“Maafkan aku, Park Jimin…” Yeji tidak mampu untuk memandang wajah kecewa Jimin. Hanya itu yang mampu Yeji ucapkan setelah mendiamkan diri, sekaligus membuktikan kecurangan yang baru sahaja Jimin saksikan adalah benar belaka. Demi mendengarkan kata maaf yang baru sahaja meluncur keluar dari ulasan bibir gadis yang menghuni carta hatinya itu, hati dan perasaan Jimin yang sudahpun hancur berkecai bertukar menjadi bara yang membakar seluruh jiwa lelakinya. Wajah Yeji dan Namjoon dipandang silih berganti dengan riak wajah yang begitu sukar untuk ditafsirkan, Jimin melepaskan satu tawa kecil yang bersifat sinis dan tajam. Sepasang mata milik Jimin kini terpaku ke arah kotak kecil yang masih berada di atas tanah. Menundukkan tubuhnya, Jimin menggapai kotak tersebut dengan jiwa yang kosong. Langkah kakinya kemudian diatur seraya Jimin mula melangkah pergi dari kawasan perumahan itu, meninggalkan Namjoon di sisi Yeji.

Langit malam yang dihiasi bintang bergemerlapan Jimin amati dengan perasaan yang berkecamuk. Sayang seribu kali sayang, keindahan fenomena alam itu belum cukup mengasyikkan untuk menjadi penyatu cebisan hati Jimin yang sudah hancur berkecai. Perlahan-lahan, Jimin memalingkan tubuhnya menghadap gadis yang masih kaku berdiri di hadapannya kini. Setelah berminggu-minggu menghilangkan diri, Jimin akhirnya berjaya mengumpul sedikit kekuatan untuk berhadapan dengan gadis itu sekaligus menguntaikan penamat yang sesuai untuk hubungan cinta mereka. Segala-galanya perlu dirungkai, sama ada penamat yang bakal hubungan mereka hadapi adalah penamat yang positif mahupun sebaliknya, Jimin sudah cukup bersedia untuk menempuhi segala macam kebarangkalian.
“Langit malam ni…cantik kan, Yeji? Bintang-bintang yang bertaburan mengelilingi bulan sabit. Aku tak pasti sama ada kau masih ingat ataupun tak…tiga tahun lepas, bulan…bintang dan langit malam…di taman inilah yang menjadi saksi pengakuan cinta dan sayang aku pada kau. Kau…bagaikan bintang yang menyinar hati aku. Tapi sekarang, kau ibarat gerhana yang menggelapkan hati aku. Semua tu…hanya boleh kekal sebagai memori untuk kita berdua…memori yang mungkin kau nak hapuskan secepat mungkin dari ingatan kau.”
Yeji cuma mampu membisu seribu bahasa, untaian air mata yang mula terbit dari tubir matanya, cuba ditahan sedaya upaya. Penyesalan yang maha hebat, itulah apa yang Yeji rasakan pada detik dan ketika itu. Dia sedar yang dia memang patut dibenci dan dipersalahkan kerana meragui keikhlasan hati Jimin kepadanya. Malah, hatinya mudah benar goyah dengan kehadiran Namjoon di sisinya di saat hubungannya dengan Jimin bagai telur di hujung tanduk. Namun, semuanya sudah terlambat dan dia sudah tidak dapat menoleh ke belakang lagi.
“Aku tahu, kata-kata maaf saja tak cukup untuk kita kembali ke hubungan yang asal. Tapi, aku tak boleh nak bohongi diri aku sendiri, Jimin! Perasaan aku pada Namjoon…aku dah tak sanggup nak pendam lagi perasaan tu.”
“Tolonglah jangan sebut perkataan maaf tu lagi..apa yang mesti aku jawab setiap kali kau ucapkan kata maaf? ‘Aku okay dan aku maafkan kau, Yeji’…itu ke yang kau harapkan dari aku?” bisik Jimin dalam kesengsaraan. Jimin sedar yang ini mungkin bakal menjadi pertemuan terakhir di antara Yeji dan dia. Gadis dihadapannya itu dihampiri dengan senyuman kecil, mata Jimin mulai berkaca tatkala telapak tangannya mengelus lembut wajah Yeji yang keruh.
“Perasaan cinta tu bukan sesuatu yang boleh dipaksa, aku tahu...Yeji.” Jimin berjeda seraya dia menggenggam erat kedua-dua bahu Yeji sebelum menyambung kata.
“Aku…sayangkan kau sepenuh hati aku. Aku…cintakan kau. Setiap kali aku ucapkan tiga perkataan tu pada kau, aku cuba maksudkan lebih daripada tu. Aku cuba nak sampaikan yang aku hargai setiap masa dan memori kita lakar bersama…aku nak kau tahu yang kau adalah perkara terindah yang pernah wujud dalam hidup aku. Tapi…nampaknya, kau tak dapat rasai keikhlasan aku pada kau.” Masih jelas dalam lakaran mindanya akan apa yang Jimin saksikan beberapa minggu yang lalu. Senyuman yang terukir di wajah Yeji tatkala Namjoon merangkulnya erat membuatkan Jimin tersedar yang sepanjang mereka bersama…tidak pernah sekalipun senyuman seindah itu terukir di wajah Yeji. Pada saat itu jugalah, jiwanya bertekad untuk membuat keputusan, keputusan yang sangat menyakitkan raganya sendiri.
“Aku tahu semua tu, Jimin. Aku tahu keikhlasan kau pada aku bukan sesuatu yang palsu dan pura-pura. Kau yang tak faham hati aku, perasaan aku. Bukan bulan, bintang atau berlian yang aku harapkan dari kau…aku cuma nak kau ada di sisi aku setiap kali aku perlukan kau Setiap kali kau tak hiraukan aku…setiap kali kau abaikan aku, Namjoon adalah orang pertama yang selalu ada untuk aku. Aku tahu yang aku tak sepatutnya macam ni…tapi aku sendiri tak dapat nak halang perasaan aku terhadap Namjoon untuk terus mekar. Aku…tak dah tak terdaya…maafkan aku, maafkan aku…Jimin.”
“Maafkan aku atas kekhilafan aku…aku sepatutnya layan kau dengan lebih baik, Yeji. Tapi, aku tak rasa yang aku boleh miliki kau dengan hanya berbekalkan hati dan cinta yang ikhlas.” Jimin berpaling dari terus menatap wajah Yeji. Air mata lelakinya sudah tidak dapat dibendung lagi. Tidak kira sekuat mana dia cuba untuk berpura-pura tabah, Jimin masih gagal menyembunyikan kekecewaannya, kerana cintanya terhadap gadis itu terlalu mendalam, dan cinta yang mendalam itu kini bertukar menjadi racun yang membunuh jiwanya sendiri.
“Maafkan aku…”Yeji berulang kali mengucapkan kata maaf dalam tangisan yang sudah tidak terkawal. Cuba untuk menyembunyikan air matanya dari pandangan Jimin, Yeji cepat-cepat cuba menutup wajah dengan kedua-dua belah telapak tangannya namun disangkal lembut oleh Jimin. Air mata gadis itu dikesat dengan hujung jarinya.
“Aku tak pernah terniat untuk mencintai kau, tapi akhirnya perasaan tu datang juga pada aku…dan aku tahu…kau tak pernah terniat untuk hancurkan hati aku…walaupun akhirnya kau hancurkan juga.” Jimin berjeda sebelum dia mengeluarkan kotak kecil dari dalam poket seluar jeans-nya. Tangan Yeji diraih sebelum kotak kecil itu diletakkan di atas telapak tangan Yeji.
“Sepatutnya, rantai ni dijadikan hadiah hari ulang tahun kelahiran kau, tapi nampaknya sekarang ia dah pun bertukar menjadi hadiah perpisahan kita. Ambillah…ia sememangnya milik kau. Kalau Namjoon adalah satu-satunya lelaki yang boleh bahagiakan kau, aku rela lepaskan kau pergi…Yeji. Aku cuma nak kau tahu yang aku akan sentiasa cintakan kau walaupun kau bukan lagi milik aku…mungkin aku bodoh sebab masih berperasaan macam ni terhadap kau. Tapi…aku tak boleh nak menidakkan cinta yang kau pernah curahkan pada aku masih mampu buat aku tersenyum…”
Jiwa Yeji meronta dalam kehibaan; betapa dia menyesal kerana mengkhianati cinta dan kepercayaan Jimin terhadapnya. Tangisannya semakin menggila seraya dia jatuh terduduk di atas rumput yang menghijau. Air mata yang mengalir deras langsung tidak menunjukkan tanda untuk berhenti. Wajah Namjoon dan Jimin menghantui fikirannya yang semakin berkecamuk. Kotak kecil yang digenggam kemas, Yeji lirik dengan pandangan yang semakin kabur. Sedarlah dia kini yang dia sangat terkesan dengan setiap keikhlasan, cinta dan kasih sayang yang cuba dizahirkan oleh lelaki hadapannya itu.
“Jangan menangis…aku takkan berada di sisi kau lagi…untuk genggam erat tangan kau…untuk menyeka air mata kau, Yeji. Hati aku sakit setiap kali air mata kau mengalir. Jadi…tolonglah…jangan menangis lagi.” Jimin menokhtahkan kata seraya membantu Yeji untuk berdiri semula, wajah gadis itu ditatap lagi dengan sedalam-dalamnnya.
‘Bagaimana aku nak lupakan kau kalau kau sentiasa ada dalam fikiran aku? Bagaimna aku boleh abaikan kau sedangkan kau adalah apa yang aku mahukan dalam hidup aku? Bagaimna aku nak lepaskan kau sedangkan hati aku tak sanggup tengok kau pergi dari sisi aku? Aku…sangat cintakan kau Min Yeji…’ Jimin berperang dengan perasaannya sendiri tatkala dia menyedari yang kata-katanya tadi hanya membuatkan tangisan Yeji semakin berlagu sendu.
Dia benar-benar tidak sanggup untuk menuturkan kata-kata itu tetapi tiada apa lagi yang boleh Jimin lakukan. Hati Yeji bukan lagi miliknya dan dia tidak dapat menahan gadis itu dari terus lenyap dari hidupnya. Cinta…hadirnya sukar dijangka; datang secara rahsia dan mengapa selalu pergi tanpa bahagia? Untuk kesekian kalinya, air mata Jimin gugur lagi. Cintanya terlalu sukar untuk dihakis dari dinding jiwanya yang utuh dan tegar.
“Ak-aku…tak..aku tak…aku tak patut-” Yeji berbisik dalam sendunya namun Jimin tiba-tiba bersuara lagi, menokhtahkan segala yang telah dia, Namjoon dan Yeji mulakan. Kasih dan sayang yang dulunya utuh terpatri kini telahpun terlerai.
“…cinta kita...cukup sampai disini…”