Jam 3.49 pagi.
Hujan lebat. Guruh berdentum. Aroma kopi hitam pekat di udara. Bunyi piano masih berlagu. Kadang terhenti. Kemudian bersambung semula.
Bertemankan lampu meja saja, Yoongi pantas mencoretkan mata pensel yang telah tumpul itu pada nota muziknya.
Yoon memerhati di sebalik dinding. Yoongi kata dia tidak suka diganggu. Dia juga tidak suka berbual. Kehadiran Yoon sekadar mengurangkan beban sewa rumahnya, walaupun pada Yoon ini rumah paling murah pernah didudukinya. Tapi, masuk akal memandangkan Yoongi tidak mempunyai kerja tetap.
Yoon tersenyum. Tapi dia pandai bermain piano dan menggubah lagu. Walaupun Yoongi nampak garang, namun lagu gubahannya indah-indah belaka, sesuai dengan jiwanya. Dia mengagak mesti jejaka yang sebaya dengannya itu sentimental orangnya. Romantik, mungkin.
“Kenapa tak tidur lagi?”
Bahu Yoon terenjat.
“Maaf. Saya tak berniat nak ganggu.”
Yoongi menghirup kopi sambil memberi isyarat ‘mari sini’ dengan tangannya.
Perlahan-lahan, Yoon mendekati Yoongi lalu duduk di sebuah sofa usang bertentangan piano Yoongi.
Yoongi bermain-main dengan pensel di jarinya.
Sudah hampir dua minggu Yoon menyewa bilik bersamanya di apartmen itu. Hairan, rasanya dia tidak pernah lihat gadis itu keluar rumah. Tak tahulah kalau dia keluar sekejap-sekejap sebab Yoongi pun jarang ada di rumah hinggalah lewat petang.
Kali pertama gadis itu muncul di pintu rumahnya sudah cukup membuatkan Yoongi curiga. Jaket labuh Chanel, beg tangan LV, rambut ikal mayang terurus rapi, kulit mulus tanpa cacat cela. Sekali tengok pun tahu dia anak orang berada. Namun entah kenapa gadis itu ingin menyewa di apartmen usang ini.
“Pandai main piano?” Soal Yoongi.
Gadis itu tersenyum lalu mengangguk. “Saya belajar dari kecil lagi. Tapi saya tak pandai gubah lagu macam awak.”
Yoongi mengangguk.
“Ada satu pertandingan gubahan lagu terbuka. Ingat nak cuba nasib. Setakat ni, tak ada siapa lagi nak beli lagu aku. Dah beli tapi tak bayar sampai sekarang pun ada juga.”
“Oh…” Gadis itu mengerut dahi.
“Kalau nak guna piano ni gunalah, tapi masa aku tak ada kat rumah.”
“Oh, terima kasih. Saya dah lama tak main piano,” Yoon tersenyum lebar, matanya yang bundar berchaya.
Yoongi ada rasa tak sedap hati. Budak ni macam… Tak pernah susah. Bolehkah dia hidup seorang diri?
“Setakat ni… Kau memang duduk rumah saja ke?”
“Oh, em… S-saya… ada juga cuba cari kerja, tapi setakat ni tak berjaya lagi. Jangan risau, cukup bulan, saya mesti akan bayar sewa rumah. Saya janji!”
Yoongi mengangguk sambil garu kepala. Terpulanglah. Kalau tak bayar, dia tendang keluar.
“Yoongi?”
“Hm?”
“Lagu tadi tu, boleh saya dengar sampai habis?”
“Lagu tu tak habis lagi. Stuck kat bahagian yang kau dengar tadi.”
“Oh… Em… Boleh saya bagi idea?”
Yoongi mengangkat kening, kemudian mengangkat bahu. Dia menyuakan tapak tangannya ke arah pianonya sebagai isyarat ‘silakan’.
-
“Yoongi, datang sini cepat!”
Sebagai penyelia pekerja, Yoongi cepat-cepat berlari ke dapur belakang restoran makanan segera itu. Yoon sedang terduduk di atas kerusi, wajahnya merah menahan sakit. Lengannya pula sedang ditekap ais oleh rakan sekerja.
Tak jauh dari situ pula, seorang lagi staf sedang membersihkan minyak panas yang tertumpah di atas lantai.
Yoongi mengeluh dan menekup muka.
“M-maaf… Saya tak…” Yoon menggigit bibir. Matanya berair tetapi dia sedang mengawal perasaannya.
Yoongi mengambil alih tempat rakan sekerjanya yang sedang menekap ais di tangan Yoon.
“Biar aku bawa pergi klinik. Kau tolong tutup kedai hari ni.” Pesan Yoongi pada salah seorang staf.
Yoon mengekori Yoongi satu langkah di belakang. Tangannya kini berbalut. Malunya bukan kepalang. Ini bukan kali pertama. Sudah lebih seminggu dia mencuba nasib di tempat kerja Yoongi, malangnya Yoon hanya memalukan Yoongi saja sebab jejaka itu yang mencadangkan Yoon untuk bekerja di situ. Ada saja kemalangan dan kesilapan kecil yang dilakukannya.
Yoongi meramas rambutnya. Hatinya mula memaki namun tak pasti dituju pada siapa. Dia tidak pernah jumpa orang seteruk itu walau cuai bagaimana sekali pun. Sah. Dia memang anak orang berada yang tak pernah hidup susah.
“Yoongi-”
“Aku rasa kau tak sesuai kerja kat situ.” Ucap Yoongi terus terang. Dia berpaling ke belakang untuk menghadap Yoon.
Yoon tertunduk malu. “Maaf. Saya tak patut minta awak tolong carikan kerja untuk saya.”
“Tak apa, aku pun…” Yoongi mengeluh. “Lupakan.”
Dalam perjalanan pulang, mereka melintasi sebuah tadika. Di luar pagar ada notis, ‘Guru Tadika Diperlukan’. Yoon berhenti seketika, mengambil gambar notis tersebut dengan telefonnya.
-
Setakat ini, Yoon sangat serasi dengan pekerjaan barunya. Dia sukakan kanak-kanak, malah dapat mengajar mereka menyanyi dan menari. Kebolehannya dalam bermain piano juga banyak membantu dalam kerjanya. Walaupun gajinya tak seberapa tetapi cukup untuk sewa rumah dan keperluan asas harian. Sesekali, Yoon juga mengadakan kelas tambahan piano untuk pelajar yang berminat.
“Hei, Lee Yoon.”
Yoongi berdiri di luar pagar kawasan tadika tersebut. Yoon baru saja selesai dengan kelas tambahannya dan sedang mengunci pintu pagar.
“Yoongi!” Yoon tersenyum lebar.
Yoongi memegang plastik dari tempat kerjanya. Ada ayam goreng dan Coke.
“Jom lepak Han Gang.”
Saat tiba di tepi sungai yang sentiasa meriah dengan pengunjung itu, langit sudah mula gelap. Yoongi dan Yoon duduk di anak tangga berhadapan sungai tersebut sambil menikmati makan malam mereka sambil mendengar dendangan lagu buskers muda di situ.
“Lagu aku shortlisted untuk final.”
Yoon menepuk tangan. “Yoongi, bagusnya! Tahniah!”
Yoongi tertawa kecil melihat reaksi Yoon.
“Sorry. Aku patut belanja kau special sikit. Ini ayam balance kat kedai je.”
“Alah, saya bukannya buat apa pun.”
“Banyak juga kau tolong aku. Komen-komen kau, dan idea yang kau bagi masa mula-mula dulu… Semua tu bagi aku banyak menolong.”
Yoon sekadar tersenyum. Semakin lama Yoongi memandang wajahnya, semakin comel pula. Yoon memang mempunyai paras rupa yang cantik, setaraf idola k-pop dan ulzzang. Tapi Yoongi tak pernah minat dengan gadis cantik macam tu (tak minat usha awek pun sebenarnya).
“Kalau awak menang nanti, saya belanja, eh no, no. Saya masak yang sedap-sedap untuk awak.”
“Boleh masak ke?” Mimik wajah Yoongi memeperolokkan gadis itu.
“Eh,” Yoon memukul lengan Yoongi. Jejaka itu sekadar tersengih. “Tak baik tau. Tak pandai boleh belajar.”
“Hish. Tak payahlah. Bahaya. Kalau terbakar tangan boleh bawa pergi hospital. Kalau terbakar rumah tu, macam mana?”
“Awak ni!” Walaupun geram, Yoon turut tertawa apabila diusik Yoongi.
-
Romeo and Juliet
Paris Opera Ballet
Asian Tour 2018
One of the most prestigious ballet performance in the world
Come and see the magic with your own eyes
Hujan lebat. Guruh berdentum. Yoongi tak ada di rumah sejak semalam. Dia ke Jeju, mengambil upah bermain piano di majlis kahwin.
Wajah Yoon dibasahi peluh. Rambutnya yang di sanggul kemas kini mula kusut-masai, beberapa helai rambut melekap di wajah dan lehernya.
Ada sedikit kesakitan di lututnya namun Yoon abaikan. Mungkin kerana sudah lama tidak menari. Tubuhnya masih lincah mengikut irama klasik yang dimainkan di telefonnya.
Seolah ringan bagaikan kapas, kedua kakinya terapung di awangan. Selepas satu putaran, Yoon menjejaki tanah semula, lututnya bengkok mencecah bumi, namun saat itu kakinya terasa bagai ditarik sehingga putus.
“Ahh!” Yoon hilang imbangan lalu jatuh. Namun kesakitannya tidak habis di situ. Lututnya terus terasa bagai dicucuk. Dia menggenggam dengan tangannya. Pil penahan sakit ada di dalam begnya di hujung bilik, namun dia tak mampu untuk bangun mendapatkannya.
“Ahh!” Yoon memejamkan matanya kuta-kuat namun air matanya gugur jua. Sakitnya tak tertahan.
“Yoon!” Yongi yang baru shaja pulang mencampakkan begnya ke lantai sebaik saja terlihat Yoon terbaring di lantai. Pemuda itu lantas berlari ke sisi Yoon melihatkan gadis itu dalam kesakitan. Dia hairan melihat Yoon berpakaian begitu - lengkap dengan tight dan kasut ballet.
“Yoongi…” Suara Yoon bergetar, “Tolong saya…”
“Yoon, kenapa ni?!”
Yoon memandang begnya di hujung bilik.
Selepas gadis itu menelan ubat tahan sakit, dia tenang semula. Namun dia terus membisu. Walaupun Yoongi bertanya, dia hanya tersenyum tawar dan berkata, “Saya cerita kat awak lain kali, ya?”
-
Lewat malam. Yoongi sedang bermain piano. Seperti biasa, Yoon memerhati di sebalik dinding. Yoongi menyedari kehadiran Yoon. Dia masih meneruskan bermain piano namun memberi isyarat mata kepada Yoon untuk duduk di sofa bertentangan piano tersebut.
Yoon duduk di sofa tersebut dan menunggu sehingga Yoongi menamatkan lagunya. Sejurus itu, Yoongi menghadapkan tubuhnya ke arah Yoon.
“Ada apa-apa nak bagitahu ke?” Soal Yoongi. Yoon masih tak cerita apa-apa tentang peristiwa beberapa malam yang lepas.
Yoon tersenyum lembut. Dia mengeluarkan dua keping tiket dan mengulurkan satu daripadanya kepada Yoongi.
“Paris Opera Ballet?” Yoongi membaca dari tiket itu. Tarikh malam lusa. Mesti mahal tiket ni, maklumlah persembahan daripada kumpulan luar negara.
Yoon mengangguk. “Teman saya pergi tengok, please?”
Yoongi tergelak kecil. “Memang minat ballet ke?” Yoongi sekadar bergurau namun teringat semula ketika Yoon meminta Yoongi mengambil ubat tahan sakit dari begnya. Masa itu, Yoon memakai kasut ballet.
Yoon tidak menjawab soalan Yoongi.
“So? Boleh tak? Teman saya? Saya tak nak pergi sorang-sorang.”
“Aku okey je.”
“Thanks, Yoongi.” Yoon tersenyum riang lalu bangkit dan terus masuk ke biliknya.
Apa yang membuatkan Yoongi rasa tak sedap hati ialah Yoon masih merahsiakan kaitan ballet dan dirinya.
-
Yoongi sekadar berbaju kemeja disematkan ke dalam seluar slack. Itu saja pun baju formal yang dia ada, namun dia terkejut melihat penampilan Yoon. Gadis itu kelihatan sangat feminin dengan dress berwarna biru pastel serta mengenakan mekap tipis. Yoon jadi tersipu apabila ditenung Yoongi sebegitu. Yoongi pula, melihatkan kesemua tetamu yang hadir masuk ke dewan dengan berlingkaran tangan, dia turut menawarkan lengannya untuk Yoon. Yoon dengan berbesar hati menerima tawaran tersebut dan masuk ke dewan bersama Yoongi.
Yoongi tak menyangka yang dia amat terhibur dengan persembahan ballet yang ditontonnya buat pertama kali. Mungkin kerana berkait rapat dengan muzik dan seni, maka Yoongi dapat menghargai nilai kesenian yang dipersembahkan.
Habis saja persembahan ballet tersebut, Yoongi dan Yoon tidak terus mengambil bas. Mereka berdua setuju untuk berjalan bersama, sengaja mahu makan angin dulu.
“Terima kasih belanja tengok performance tu. Mesti mahal, kan?”
Yoon tertawa. “Boleh tahanlah. Awak jangan perasan pula. Saya memang dah book tiket tu berbulan yang lepas. Saya bukan beli untuk awak ya?” Usik Yoon. Yoongi sekadar tersenyum.
Sepi seketika. Yoongi ingin bertanya lagi, adakah Yoon pernah terlibat dengan ballet, namun rasa serba-salah. Sebelum ni Yoon mengelak apabila dia cuba bertanya.
“Terima kasih sebab temankan saya, Yoongi. Kalau awak tak ada, saya rasa tak sanggup nak tengok seorang diri.” Ujar Yoon memecah sepi tadi.
Yoongi terdiam sebentar. “Kenapa?”
Yoon memandang wajah Yoongi dengan senyuman yang hambar, namun dia masih kelihatan manis.
“Enam bulan yang lepas, sepatutnya saya terbang ke France. Saya ditawarkan untuk join group Paris Opera Ballet, kumpulan tadi tu. Itu memang impian saya dari kecil, untuk jadi penari ballet profesional bersama kumpulan yang paling berprestij di dunia. Tapi, dalam perjalanan ke airport, saya kemalangan. Saya dilanggar pemandu mabuk. Kaki saya cedera teruk, dan saya disahkan doktor yang saya tak boleh menari lagi.”
Langkah mereka terhenti. Yoongi merenung ke mata Yoon dalam-dalam. Mata bundar gadis itu mula berkaca, namun bibirnya tak lekang dengan senyuman.
“Sampai sekarang, kadang-kala kaki saya sakit sampai saya terpaksa telan painkiller. Maafkan saya sebab simpan cerita ni sampai hari ni. Sukar untuk saya ceritakan, sebab segalanya masih terlalu menyakitkan buat saya.”
“Yoon… Saya… Maaf, saya tak tahu…”
“Awak tak perlu minta maaf. Saya rasa syukur sangat sebab tuhan temukan saya dengan awak. Banyak yang saya belajar daripada awak.”
Yoongi jadi kelu lidah. Tak ada apa yang dia boleh katakan untuk membantu. Dia sangka gadis ini tak pernah hidup susah, sedangkan dia pernah melalui sesuatu yang mungkin Yoongi sendiri tak sanggup hadapi.
“Cik Lee Yoon.”
Perbualan mereka terganggu mendengarkan panggilan itu. Seorang lelaki dalam usia lewat 40-an bersut kemas menunduk hormat terhadap Yoon.
“Encik Kim Junghoon.”
“Siapa dia?” bisik Yoongi.
“Dia…” Kata-kata Yoon tergantung.
“Maaf mengganggu temujanji encik dan cik berdua. Saya Kim Junghoon, pembantu peribadi ibu cik Lee Yoon. Mohon cik Lee Yoon berjumpa dengan saya. Ada perkara penting yang perlu dibincangkan. Sudah lama ibu cik cari cik.”
Cari? Yoon lari dari rumahkah? Terdetik di hati Yoongi.
Yoon nampak keberatan namun dia tidak mahu lari lagi. Dia sudah bersedia untuk berdepan dengan masalahnya.
“Yoongi, maaf. Awak balik dulu, ya.”
“Ya. Okey, jaga diri.” Yoongi melambai pada Yoon saat gadis itu melangkah pergi bersama lelaki tadi menuju ke arah sebuah kereta mewah.
-
Selepas pertemuannya dengan pembantu peribadi ibunya, Yoon pulang semula ke rumah sewanya. Sudah hampir seminggu berlalu selepas itu; segalanya berjalan seperti biasa. Yoon ada meninggalkan rumah beberapa kali, katanya untuk makan malam bersama keluarganya.
Pertandingan yang disertai Yoongi telah mengumumkan keputusannya. Yoongi tidak memenangi pertandingan tersebut, namun mendapat anugerah khas pujian juri. Apa yang lebih baik lagi, lagunya mendapat perhatian sebuah syarikat besar. Kini Yoongi dalam proses perjanjian jual beli lagu tersebut yang bakal diberikan kepada penyanyi terkenal di syarikat itu.
“Tahniah!” Yoon menepuk tangan, menyambut kepulangan Yoongi. Mata Yoongi membundar melihat meja makannya meriah dengan lauk-pauk.
“Buat sendiri ke semua ni?”
“Yalah. Sehari suntuk saya kat dapur.”
“Tipu. Kimchi ni mesti beli kat luar kan?”
“Hei, tolong sikit. Saya buat sendiri semua ni tau! Cuba rasa, okey tak?”
Yoongi duduk di meja makan. Baru saja hendak mencapai mangkuk, Yoon berdegil untuk menghidangkan nasi kepadanya.
“Dah macam laki kau pula.”
Merah pipi Yoon diusik begitu. “Hish, ke situ pula. Hari ni kan hari istimewa awak.”
Tak disangka, sedap pula masakan Yoon, walaupun sikap cuainya itu mungkin masih tak berubah. Yoongi tahu,kerana dia sedar jari manis dan jari telunjuk Yoon yang berbalut plaster.
-
“Yoon?” Yoongi mengetuk pintu bilik Yoon. Hairan dengan sikap aneh Yoon hari ini. Sebaik saja dia pulang kerja, dia terus masuk ke bilik, langsung tak menyapa Yoongi yang sedang duduk di pianonya. Yoongi rasa tak sedap hati lalu terus mengetuk pintu biliknya. Yoon tidak menjawab. Lebih membimbangkan, pintu biliknya dikunci.
“Yoon, kau okey ke?”
Senyap. Yoongi menekap telinganya di pintu bilik Yoon. Perlahan-lahan, terdengar bunyi esakan.
“Yoon, buka pintu!” Ketukan Yoongi semakin kuat. “Yoon! Buka pintu ni!”
Tangisan Yoon juga semakin kuat.
Yoongi cuba menendang dan menghempaskan badannya pada pintu bilik namun tak berkesan. Dia lantas mencari penukul dan mengetuk tombol pintu hingga pintu terbuka.
Langkahnya semakin laju melihat timbunan pil putih di telapak tangan Yoon yang sedang menggelatar.
“Yoon apa kau buat ni?!” Yoongi merentap pergelangan tangan halus Yoon sekaligus menjatuhkan semua pil tersebut ke lantai.
Yoon mendongak, memandang wajah Yoongi dengan mata yang sayu, wajahnya comot dengan linangan air mata. Pandangan itu menusuk ke jiwa. Betapa Yoongi dapat melihat jiwa yang telah berkecai di sebalik matanya yang bundar.
“Yoon... Jangan, Yoon!” Yoongi memberi amaran.
“Yoongi… Saya dah tak sanggup…”
“Bukan ini caranya, Yoon. Tak ada masalah yang tak ada penyelesaiannya. FIkirkan perasaan mak dan ayah kau, Yoon.”
“Mama… Mama kata dia akan carikan tempat untuk saya dalam company papa. Mereka nak hantar saya ke Filipina. Saya tahu saya tak bijak macam kakak dan abang saya… Mereka pergi Harvard... Cambridge… Saya… kerja kat fast food pun tak pandai.... Mereka… mereka dah tak nak tengok muka saya lagi… Mereka tak sayang saya lagi.... Saya dah tak ada apa-apa lagi, Yoongi…”
“Yoon, kau ada aku.” Yoongi memegang bahu Yoon dengan erat, semoga gadis itu tersedar dari puaka yang merasuknya. “Aku ada kat sini, Yoon.”
“Awak takkan buang saya, macam mama dan papa buang saya?”
Yoongi menggeleng kepalanya. “Aku janji. Percayalah, Yoon.”
Yoon terus teresak-esak lagi. “Maafkan saya, Yoongi.”
Akhirnya Yoongi melepaskan nafas lega. Gadis yang masih teresak-esak itu dipeluk erat. Yoongi syukur, benar-benar berysukur kerana dia tidak terlewat. Dia tidak mahu Yoon melalui apa yang dia lalui dahulu. Ya, dia juga pernah membahayakan dirinya sebegini dahulu, dan dia tahu betapa jerihnya apabila tiada yang menghulurkan sokongan saat dia terdesak.
-
Yoongi setia menemani Yoon menjalani terapi di hospital, bukan saja untuk psikologinya, namun untuk fizikalnya juga. Yoongi mendapat tahu bahawa Yoon telah melarikan diri sebelum menghabiskan rawatan fisioterapi untuk kecederaan kakinya. Sudah sebulan lebih sejak rawatannya dimulakan dan setakat ini, Yoon memberikan kerjasama dan menunjukkan perkembangan yang baik untuk kesihatan mentalnya.
Ia terbukti apabila suatu hari Yoon memberitahu bahawa dia ingin pulang kepangkuan keluarganya.
“Tak ada apa yang berubah dalam keluarga saya. Mereka masih anggap saya kambing hitam keluarga, tapi saya tak mahu susahkan awak lagi.”
“Apa kau cakap ni? Aku tak pernah rasa susah tolong kau. Aku ikhlas.”
“Saya tahu. Tapi sebagai orang dewasa, saya perlu matang. Saya tak mahu libatkan awak lagi. Awak perlu fokus dengan kerjaya awak. Dan masalah saya ni, saya perlu atasi sendiri.”
“Kau pasti ke ni? Dah fikir masak-masak?”
Yoon mengangguk. “Jangan risau. Mama dan papa akan pastikan saya sembuh sepenuhnya sebab mereka takut nama baik keluarga akan tercemar. Encik Kim Junghoon sentiasa akan tolong saya, dan dia setuju untuk bincang dengan mama dan papa berkenaan kemasukan saya ke dalam syarikat mereka. Walau apa pun yang mereka nak, saya akan tetap dengan keputusan saya untuk terus menjadi cikgu tadika.”
Mendengarkan penjelasan Yoon, Yoongi sedar Yoon sudah bangkit. Dia telah membuat keputusan yang matang dan wajar, sampaikan Yoongi pun kehabisan hujah untuk menghalang pemergiannya.
Hari ini hari terakhir Yoon di rumah itu. Semua barangnya telah siap dikemas dan dimasukkan ke dalam but kereta. Encik Kim setia menanti di tepi keretanya sementara Yoon dan Yoongi mengucapkan selamat tinggal.
“Terima kasih untuk segalanya Yoongi. Saya tak mampu nak balas jasa awak.”
“Tak ada apalah… Aku pun banyak terhutang budi pada kau.”
Yoongi mengulur tangannya lalu mereka berjabat tangan. Apabila tautan jemari mereka terlerai, Yoon melangkah lebih dekat.
“Jumpa lagi, Min Yoongi.” Dia berbisik di telinga Yoongi lalu menghadiahkan kucupan di pipi jejaka itu. Yoongi terkaku seketika. Dia tidak membalas pun lambaian Yoon saat gadis itu masuk ke kereta dan berlalu pergi.
Yoongi mendongak ke langit. Pemergian Yoon meninggalkan sesalan bersisa di hatinya. Walau apa pun terjadi, Yoongi yakin.
Jumpa lagi, Lee Yoon.