aboutarchives


16 September 2020
Payung @ 19:24

"Akan ku terus payungi dia meskipun diri ini tak berpayung"

Tekad yang aku dah tanam semenjak sepuluh tahun lalu. Selalu aku berdoa agar kedukaan dia berpindah pada aku. Biar sakit dia, aku yang rasa. Bahagia aku, biarlah menjadi milik dia saja. Dan demi dia, aku rela korbankan segalanya. Kalaupun aku terpaksa pertaruhkan hidup mahupun nyawa aku sendiri. Aku sanggup lakukan itu!

"...nanti bila kau tak lagi perlukan aku untuk payungi kau macam selalu. Sebab ada yang lebih baik dari aku, maka jujurlah pada aku yang kau tak lagi perlukan aku. Supaya aku boleh berlalu dengan kerelaan aku sendiri." - Reisa.

"Nak tahu kenapa aku tak tolak tawaran dia? Sebab kau ni pun boleh tahan juga. Orang kata, rezeki jangan di tolak. Jadi kau tak payahlah nak pasang angan-angan yang aku akan lepaskan kau semudah tu. Sebab kau milik aku..." - Kai.

"Aku ikhlas lepaskan kau. Kau payung aku yang paling istimewa. Dan ingatlah seperkara ni sampai bila-bila. Aku sayang kau melebihi segala-galanya. Tunggu aku. Aku janji aku akan datang pada kau semula." - Sehun.

******

DENGAN segala kudrat yang ada, laju ku hayun kaki cuba menyaingi langkah panjang dia. Suara aku lantang memanggil nama dia. Cukup lantang namun belum mampu saingi deraian hujan. Langsung dia tak menoleh. Dia tetap laju melangkah. Dan aku juga tak mahu beralah. Masih cuba menyaingi dia. Hanya kerana seorang sahabat.


Hujan semakin kasar. Guruh pun berdentum kuat. Sesekali ada rasa gentar menujah hati namun aku gagahkan jua mengejar dia yang dah jauh ke depan. Aku genggam kejap kaki payung yang menjadi pelindung sementara aku.


Aku tarik senyum tipis. Sudah mengagak tasik ini akan menjadi persinggahan dia. Tubuh yang duduk membelakangi aku, aku dekati. Payung yang aku buat berlindung dari tempias hujan aku kalih ke dia. Dia pandang wajah aku tak beriak. Tanpa diminta, tempat kosong di sebelah dia aku tempati. Aku masih meneduhkan dia dari tempias hujan. Sedang aku, sudah bermandi hujan. Masih aku cuba ukir senyum pada dia yang tunak memandang aku.


"Bila kau rasa kau perlukan teman untuk berkongsi cerita, carilah aku. Sebab aku sentiasa bersedia menjadi payung untuk kau teduhi ketika suka mahupun duka." Ujar aku tulus. Aku tahu dia punya alasan kenapa dia bersikap macam tadi. Tak mahu memaksa dia. Aku tahu nanti dia pasti cerita pada aku dengan sendirinya. Jadi sebab itu, aku sentiasa bersedia untuk dia.


Sepi.


"Tak pernahkah kau lelah walaupun sekali.. payungi aku, Reisa?" Tanya dia meruntuhkan suasana hening antara kami. Aku menggeleng pantas. Tak pernah lelah demi dia, seorang sahabat.

"Kalau aku lelah sekarang, itu sama maknanya aku mengalah dalam hubungan persahabatan kita, Sehun. Dan kalau aku lelah sekarang, siapa nak terus payungi kau setiap kali kau perlu berlindung di bawah hujan?" Aku tanya dia kembali. Dia terdiam mulanya. Tapi tak lama sebelum perlahan-lahan aku lihat dia tersenyum jua.


Tangan Sehun menyentuh jemari runcing ku yang memegang kaki payung. Dia tolak payung di pegangan aku ke tengah perantaraan kami. Dan akhirnya kami sama-sama berteduh di bawah payung yang sama. Berkerut aku pandang dia. Lain benar sikap dia. Mungkin dia tak betah melihat aku berhujan sedangkan dia, aku yang menjadi pelindung. Bisik aku sendiri. Hati ini berbunga riang. Setidak-tidaknya aku tahu, masih ada secubit kerisauan dia buat aku.

"Terus payungi aku sampai bila-bila ya, Reisa?" Pinta dia lembut. Mata itu memandang aku penuh berharap. Dapat aku rasa ada luka yang tak terzahir dari pandangan redup itu.


Aku tahu dia banyak makan hati dengan sikap orang tua dia. Dulu, waktu mula-mula aku payungi dia di tasik ini, dia menangis teruk sangat. Habis dia hamburkan segala kesedihan dia pada aku. Dia cerita pada aku, ibu dia buat perangai. Sanggup tinggalkan dia dua beranak demi lelaki lain. Dan beberapa bulan lepas tu pula sikap daddy dia mula berubah. Tak pernah ambil peduli pasal dia lagi. Aku tahu dia inginkan perhatian.


Sejak itu, aku mula bertekad. Aku akan terus payungi dia meskipun aku sendiri tak berpayung. Aku dah biasa hadap dunia kejam ini. Waktu kecil lagi aku di didik untuk hidup berdikari. Aku juga seperti dia. Punya ayah dan tiada ibu. Ibu aku meninggal ketika aku umur empat tahun. Tapi kisah hidup aku dan dia jauh berbeza. Bagai langit dengan bumi bezanya!


"Sampai satu saat nanti, bila kau punya tanggungjawab sendiri. Dan begitu juga aku, tak mungkin aku mampu terus payungi kau macam sekarang.." Wajah dia berubah kelat. Aku hanya gariskan senyuman lalu kembali berbicara.


"Tapi buat masa ni, aku janji aku akan terus payungi kau sekalipun kau tak minta aku lakukan begitu. Dan nanti bila kau tak lagi perlukan aku untuk payungi kau macam selalu. Sebab ada yang lebih baik dari aku, maka jujurlah pada aku yang kau tak lagi perlukan aku. Supaya aku boleh berlalu dengan kerelaan aku sendiri." Tenang aku menyambung.


Sehun mencari-cari mata coklat aku. Cuba untuk mengertikan maksud di setiap kata-kata ku pada dia tadi. Anak mata kami bersabung. Tangan dia masih beralaskan tangan ku di kaki payung itu. Bohong jika aku kata tiada rasa aneh yang menjalar masuk dalam hati ini.


Tapi aku beruntung kerana hujan masih menggila. Deraian hujan yang lantang itu menyukarkan dia mendengar dengupan jantung aku yang tak sekata. Aku mula membawa pandangan ke tengah tasik. Demi menyembunyikan rahsia hati ini.


"Tak ada siapa pun boleh tandingi kesabaran kau dalam melayani karenah aku. Kau akan tetap jadi sahabat aku sampai mati, Reisa. Jadi aku minta, teruslah payungi aku. Sehingga satu saat nanti takdir yang perlahan-lahan pisahkan kita. Dan andai nanti waktu itu tiba, aku ikhlas lepaskan kau." Ujar Sehun. Dan aku, hanya diam memandang ke tengah tasik tanpa memberi kata putus.


******


"AKU tak pernah rasa perasaan ni. Lain Reisa. Lain sangat rasanya. Hanya seorang Jina yang berjaya buat aku sasau sampai teruk macam ni sekali. Dan hanya dengan dia, aku lupa dengan layanan daddy beri pada aku. Ini ke rasa dia bila kita jatuh hati pada seseorang?" Tanya dia polos. Dia pandang aku penuh sabar.


Jemari ku sulam sesama sendiri. Tunduk menekur lantai. Aku tahan hati. Aku tahan segalanya untuk pengakuan dia pada aku hari ini. Cuma Jina yang berjaya bawa dia keluar dari krisis dia dengan daddy dia. Terang lagi tersuluh, aku tak mampu tandingi kehebatan Jina. Hati ini mula dipagut risau. Gusarnya aku jika tempat yang aku huni dalam hidup dia bakal digantikan kelak oleh Jina, gadis pujaan dia. Kemungkinan besar, aku tak lagi diperlukan waktu itu.


"Tanya hati kau sendiri. Untuk persoalan kau tu aku tak ada jawapan. Cuma kau saja tahu. Tapi kalau betul kau dah jatuh hati pada dia, kau kejarlah dia. Mungkin dia paling layak payungi kau, gantikan tempat aku selepas ni." Jawab aku perlahan. Aku panggung kepala. Memandang dia yang dah terkelu sendiri. Aku hanya senyum pada dia. Entah apa lekuk yang terbentuk di pipi bila senyum aku kali ini sebuah paksaan.


"Aku tak suka kau cakap macam tu. Jina bukan kau. Dia tak boleh jadi kau. Tempat kau dalam hati aku tak ada sesiapa pun boleh sentuh. Sebab kau adalah Reisa, sahabat aku sampai mati." Tegas Sehun dalam kelembutan. Dia pandang aku dengan tapak tangan di dada.


"Sampai mati, aku tetap akan jadi sahabat kau. Tak mungkin lebih, kan?" Gumamku perlahan. Cukup perlahan sehingga aku yakin Sehun tak mungkin mendengariku.


"Kau ada cakap sesuatu dengan aku ke tadi?" Terentang kerutan di dahi dia. Aku sembunyi senyum. Lucu pula melihat dia berkerut sana-sini. Gelengan kecil aku beri pada dia.


"Aku adalah aku. Jina tak mungkin jadi aku sebab dia seorang Jina bukan Reisa." Jelas aku sedikit keras dan dia mengangguk setuju.


Aku pandang seraut wajah itu. Aku akui Sehun memang sangat tampan orangnya. Sedangkan pelajar perempuan di sekolah yang kami menuntut sama-sama ini juga kebanyakannya tergila-gilakan dia. Tapi tidak dia. Dia spesis susah nak rapat dengan perempuan. Kalau dulu cuma aku seorang saja gadis yang dia rapat. Kini pula, Jina juga punya tempat yang sama seperti aku atau mungkin lagi tinggi tarafnya dalam hidup dia.


"Sehun." Seru suara itu. Aku toleh pada empunya suara.


Jina. Gadis itu dekati bangku aku dan Sehun duduki beberapa minit tadi. Aku pandang sahabat ku semula. Jelas wajah dia memancarkan sinar bahagia. Ada senyuman terbit di ulasan bibir itu. Senyuman yang hanya dikhaskan buat Jina seorang. Aku tak mampu buat dia tersenyum seperti itu. Aku yakin seratus-peratus dia memang dah betul-betul jatuh hati pada Jina.


"Saya cari awak tadi dekat kantin tapi tak ada. Rupanya awak dekat sini—" Jina tersenyum mesra pada Sehun. Dia pandang aku pula dan terus saja senyuman dia mati, "..dengan Rei." Sambung gadis itu datar. Aku senyum sinis pada diri sendiri. Jelas sekali, dia memang tak suka aku dekat dengan 'bakal kekasih hati' dia.


Selepas Jina ambil tempat di kiri Sehun, mereka mula berbual sesama sendiri. Aku tulikan saja telinga. Tak mahu jadi yang ketiga, langsung punggung ku angkat dan berdiri. Skirt sekolah ku, aku kibas-kibas. Buang sisa habuk di bangku yang melekat. Tindakan ku menyentakkan mereka berdua. Aku balikkan tubuh. Dan mereka sudah pun memandang ku pelik. Aku lukiskan senyum tipis buat mereka. Kemudian, bahu Sehun aku tepuk dua tiga kali.


"Kejar dia dan jangan lepaskan dia. Aku ke kelas dulu." Pamit ku dan masih lagi tersenyum pada dia sebelum berlalu pergi. Selangkah dua aku berjalan, setitis air mata aku pun gugur.


******


"SALAH Rei pada ayah apa sampai tergamak ayah buat darah daging ayah macam ni sekali? Dulu ayah campak Rei ke neraka tu. Rei tak pernah merungut pun. Rei ikut semua kehendak ayah. Sekarang ni ayah nak suruh Rei teman kan lelaki tu sampai ke dalam bilik pula demi langsaikan hutang ayah? Ayah! Rei bukan boneka ayah." Aku merintih pilu.


Tegarnya dia sebagai seorang ayah perlakukan aku tak ubah seperti boneka yang tak berperasaan. Yang dia boleh serah pada sesiapa dia mahu. Semua kehendak dia aku dah turutkan. Sampai aku sanggup bekerja jadi pelayan di salah sebuah kelab malam demi menampung hidup kami. Gaji yang aku dapat setiap bulan, ayah yang pegang tanpa tinggal sisa buat aku. Semua duit itu dia perhabis buat berjoli. Aku tak pernah ungkit pada dia sikit pun.


Tapi kali ini, bila dia memaksa aku melayan lelaki dalam bilik demi melangsaikan hutang dia. Sungguh aku tak rela. Hutang dia, kenapa perlu jadikan aku mangsa? Cukuplah orang-orang menggelar aku pelacur kerana bekerja di kelab malam itu. Aku tak pernah sudi serah tubuh ku pada orang lain. Aku masih punya harga diri. Aku tak semurah tu. Bukankah dia sebagai ketua keluarga seharusnya lindungi aku? Kejam sungguh dunia ini!


"Berani kau tanya salah kau apa pada aku? Hei! Sebab kau, isteri aku mati. Gara-gara dia selamat kan anak malang macam kau ni, dia mati! Dan sekarang kau berani tanya aku salah kau apa pada aku?" Dahi ku dia tunjal berkali-kali. Tubuh ku terdorong kebelakang. Perbuatan dia aku biarkan. Aku tiada daya nak melawan. Hati ku menangis hiba. Bagai kena rentap tangkai hati ini mendengar tuduhan ayah.


"Mak pergi sebab Tuhan lebih sayang dia. Bukan sebab Rei, ayah. Dah tertulis takdir mak begitu."


Ayah kepal jemari dia. Aku tahu ayah sedang menahan amarah yang semakin memuncak. Merah padam wajah dia. Mata dia tajam menikam ku. Dah tentu-tentu dia terpukul dengan kata-kata aku yang sememangnya benar. Aku mahu dia sedar hakikat yang mak pergi kerana Tuhan sayangi dia. Bukan salah aku jika mak pergi. Memang sudah ajal dia. Tak adil bagi aku jika dia terus-menerus salahkan aku atas semua yang jadi dulu.


"Ada hati kau nak bahasakan aku! Kalau kau tak lahir ke dunia ni, benda macam tu takkan jadi. Dah sekarang kau jangan nak banyak cerita. Aku ni bapa kau. Apa yang aku suruh buat tu, buat saja. Aku ni orang yang paling berhak tentukan arah hidup kau."


Aku sakit dengar pengakuan ayah. Betul kata orang. Lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Hanya kata-kata tapi tusukan dia tepat ke teras hati ini. Mungkin dari awal aku tak patut lahir ke dunia. Aku pun tak pernah meminta untuk dilahirkan.


Aku terjelepok ke atas lantai. Terasa panas kelopak mata ku. Tak tertanggung rasanya bila terpaksa pikul beban ini sendirian. Aku peluk kaki ayah. Mengharap belas ihsan dari dia. Tak mungkin dia langsung tiada sekelumit rasa kasihan pada aku. Aku anak dia. Darah daging dia!


"Rei juga ada hak nak tentukan arah hidup Rei, ayah. Jangan buat Rei macam ni. Kenapa harus lacurkan Rei pada dia untuk lunaskan hutang ayah? Rei tak sudi serah diri pada lelaki tu. Rei masih ada harga diri. Rei merayu pada ayah, jangan buat Rei macam ni!" Air mata ku bertali arus. Kaki ayah masih aku peluk erat.


Aku dengar ayah mendengus kasar sebelum melepaskan kaki dia dari pautanku secara paksa. Tak semena-mena, tubuh aku tercampak kebelakang. Kepala ku terhantuk pada bucu kabinet. Berpinar-pinar kepala aku. Pandangan ku berbalam. Sakit!


Tapi masih belum mampu tandingi sakit di hati aku. Aku pegang kepala. Ada cecair merah mengalir. Aku biarkan saja. Langsung aku pandang ayah yang tak terkesan dengan kondisi ku. Dulu hingga kini pun, aku tak pernah punya tempat di hati dia. Aku tak pernah jadi sesiapa pada ayah melainkan boneka dia saja.


"Bila aku suruh tu jangan ingkar! Tu baru sikit kau kena. Kau kenal aku macam mana Rei. Apa pun jadi, kau wajib ke kelab malam tu malam nanti. Nahas kau aku kerjakan kalau kau cuba-cuba nak lari!" Gertak ayah tanpa memikirkan keadaan dan perasaan aku. Dia terus saja berlalu. Tinggalkan aku yang dah teresak-esak sendiri di ruang tamu ini.


******


HUJAN lagi. Aku tak mengeluh malah makin melebar senyumku. Kebanyakan manusia, mereka tak gemar dengan hujan. Kata mereka, keadaan itu akan menghad dan menyukarkan aktiviti harian mereka. Tapi tidak aku. Bagi aku, hujan sentiasa memahami perasaan ku. Setiap kali aku di hambat pilu, hujan pasti menemani hari ku. Seperti sekarang, bagai tahu aku sedang bersedih, dia turut menangisi nasib ku. Seakan-akan dia mengerti hati rapuh ini.


Setengah jam sudah berlalu. Dia masih belum tiba. Sedangkan dia yang berjanji ingin berjumpa aku di tasik kegemaran kami ini. Mujur aku tergerak hati hendak membawa payung bersama. Kalau tidak, mungkin tubuh ini sedang menggigil kedinginan menunggu kedatangan dia.


Genggaman ku di kaki payung aku eratkan. Pandangan aku tebar ke belakang mencari-cari bayangan dia. Aku ketap gigi. Geram! Selambanya dia ke sini tak berpayung. Habis dia bermandi hujan. Tak betah aku lihat dia kebasahan, lantas aku berlari ke arah dia. Aku lindungi dia di bawah payung ku. Aku nampak dia senyum.


"Kau ni! Kalau dah tahu hujan, lain kali bawa payung. Aku tak nak kau dapat sakit nanti." Marah ku tapi dia masih saja tersenyum.


"Aku ada kau untuk selalu payungi aku. Jadi aku tak perlukan payung lain kecuali kau." Dia bercakap seolah yakin aku akan terus ada untuk payungi dia. Memang aku ingin kekal menjadi payung dia. Tapi siapalah aku untuk tentukan perjalanan hidup kami. Nafas ku hela berat.


"Jangan terlalu berharap, Sehun. Aku takut kalau satu hari nanti aku mungkin tak dapat terus payungi kau." Sekian kali aku cuba menyedarkan dia dengan realiti. Mati langsung senyuman dia. Dia membawa langkah ke jeti. Biarkan aku termangu sendiri.


Dia yang sudah melabuhkan duduk, aku hampiri. Aku teduhkan dia bawah payung ku. Ruang kosong sebelah dia aku ambil. Langsung dia tak menoleh ke arah ku. Berjauh hati dengan kata-kata ku tadi barangkali. Berkongsikan payung yang sama, kami masing-masing sibuk melayari dunia sendiri. Sehingga aku tak senang dengan keadaan hening ini, aku mula bersuara.


"Jadi berita apa kau nak kongsi dengan aku?" Tanya ku penasaran.


Sejam lalu dia telefon aku. Kata dia ada berita baik dan tak baik yang ingin dia kongsi pada aku. Bila aku tanya berita apa, dia kata jumpa di sini dan dia akan kongsi pada aku. Malas panjangkan cerita, terus saja aku setuju.


Dia kalihkan pandangan ke arah ku. Garis-garis halus mula terbentuk pada dahi dia. Ralit dia tenung dahi aku. Tak senang duduk aku dibuatnya. Aku pura-pura betulkan rambut. Mahu kaburi pandangan dia. Tak mungkin dia dapat kesan lebam yang ada di dahi ku. Puas aku tempek bedak di situ. Untuk tutup luka terhantuk bucu tadi. Cepat-cepat aku luruskan pandangan ke tasik.


"Nak tahu yang baik dulu atau yang tak baik?" Dia tanya kembali. Aku buang nafas lega. Mujur dia tak bertanya lebih. Seketika, aku mencebik. Kena buat pilihan juga ke? Nak kongsi, kongsi sajalah! Bentak aku dalam hati.


"Tak baik dulu." Jawab ku ringkas.


Reaksi apa Sehun beri, aku tak pasti. Aku langsung tak pandang ke dia. Aku takut jika dia dapat kesan apa yang jadi pada dahi aku. Dia tak pernah tahu apa yang aku lalui. Aku tak pernah buka cerita. Dan biarlah kisah hidup ku kekal menjadi tanda tanya pada dia.


"Aku gaduh besar dengan daddy. Semua sebab dia nak pasang aku bodyguard. Aku tak suka dia kawal aku macam tu, Reisa. Mana boleh dia buat aku macam boneka. Selama ni pun mana dia peduli pasal aku. Pasal perasaan aku. Tapi tiba-tiba, dia nak pasang aku bodyguard. Dia ingat aku ni apa? Anak kecil ke sampai nak kena kawal macam tu sekali.


Macamlah aku ni tak pandai jaga diri. Selama ni pun, aku jaga diri sendiri juga. Mana dia kisahkan aku." Luah Sehun tak puas hati. Aku senyum tawar. Setidak-tidaknya, kau ada daddy yang sayang kau dalam diam. Sedangkan aku, punya ayah tapi sanggup serahkan anak sendiri pada lelaki lain. Luahan yang tak mampu aku zahirkan pada dia.


"Adakala, tak perlu pun kita ucap sayang pada seseorang tu. Cukup kita melihat sendiri apa yang dia sanggup korbankan untuk kita. Dan cukup dengan hanya kita merasakannya sendiri. Lain orang, lain cara dia tunjukkan rasa sayang dia pada orang tu.." Kalau saja dia fahamkan betul-betul apa yang cuba aku nak sampaikan ini. Aku senyum. Tawar. Sampai bila-bila pun dia tak akan pernah faham.


"Berita baik pula?" Pinta ku tanpa memberi Sehun peluang untuk bersuara.


"Macam yang kau suruh aku lakukan tempoh hari." Dia jeda seketika, "Aku kejar dia. Aku dah pun miliki dia. Dan aku takkan lepaskan dia. Takkan sesekali lepaskan dia."


Aku diam. Dada terasa sebu. Pastilah 'dia' yang Sehun maksud itu Jina. Siapa lagi gadis yang rapat dengan dia selain aku dan Jina? Dah tentu-tentu nama aku di senarai hitamkan dalam list 'dia' yang dia maksud. Sebab aku akan tetap jadi sahabat dia sampai mati. Tak mungkin lebih dari itu. Aku berpaling ke arah dia yang seakan tenggelam dalam dunia sendiri.


"Jina. Dia, orang yang kau maksud?" Tanya ku pura-pura bodoh. Walhal aku sendiri tahu jawapan apa yang dia akan bagi. Diri ini seolah-olah sedang toreh hati guna tangan sendiri. Mendengar soalan aku, terus dia pandang aku di sebelah. Dia tak menjawab. Hanya bibir dia saja terbias dengan senyuman.


"Apa pun jadi, jangan lepaskan dia." Pesan ku tiba-tiba. Tunak dia memandang aku. Tak lama lepas tu, dia jatuhkan kepala. Mengangguk.


"Tentu! Dia adalah segala-galanya buat aku. Aku takut untuk hilang dia. Aku sayang dia. Sayang sangat-sangat." Ucap dia bersungguh-sungguh. Bahu ku jatuh. Aku tewas sebelum berjuang.


Aku raih tangan kanan dia. Dia pegun dengan tingkah ku yang tiba-tiba. Kaki payung aku hulur pada dia. Awalnya dia berkerut bingung. Tapi lama-kelamaaan dia sambut jua huluran ku. Payung kini bertukar tangan.


"Aku tak boleh terus payungi kau. Aku kena pergi. Nanti ayah aku cari. Jumpa lagi, Sehun."


Terus aku angkat punggung dan berdiri. Perlahan-lahan, aku balikkan tubuh. Ingin berlalu. Tapi baru selangkah dua aku menapak, kedengaran nama aku di laung dari belakang. Terhenti langkah kaki ini. Nafas aku hela perlahan. Bibir aku lorekkan senyuman sebelum menghadap dia semula.


"Aku tak tahu apa dah jadi dengan dahi kau. Lebam dia masih ketara walaupun kau cuba tutup tak nak aku sedar kehadiran luka tu. Lama kan kita kenal? Tapi sampai sekarang aku tak pernah tahu kisah hidup kau. Aku tak paksa kau cerita. Cukuplah kau jaga diri kau untuk aku."


Dan senyum ku mati serta-merta. Aku sentuh dahi ku. Teringat kembali punca aku mendapat luka ini. Saat aku rasa aku tak lagi punya siapa-siapa, aku tersedar. Aku masih punya Tuhan. Aku pohon dipinjamkan kekuatan agar aku dapat harungi pahit getir hidup ini. Selebat-lebat hujan yang turun petang itu, lebat lagi air mata ini yang mengalir. Untung saja hujan berjaya kaburi pandangan Sehun. Kalau tidak, pasti dia dapat melihat sisi lemah ku.


*******


AKU berlari mengikut kemana saja arah kaki ku bawa. Selepas bergelut buat beberapa minit dengan lelaki yang ayah berhutang, aku berjaya loloskan diri dari cengkaman dia. Tapi aku tahu konco-konco dia masih mengejar ku di belakang. Derap langkah mereka dapat ku dengar jelas. Makin lama, langkah ku makin perlahan. Dalam hati tak putus-putus aku panjatkan doa agar aku di lindungi daripada manusia kejam seperti mereka. Aku tak mahu ke neraka itu lagi. Terasa begitu murah harga diri ini. Ayah kejam!


Langkah aku mati serta-merta. Lorong yang aku lalui, jalan mati. Aku hendak berpatah ke belakang semula. Dan konco-konco lelaki durjana tu dah pun terpacak tak jauh dari aku. Sinis mereka memandang aku. Aku tahu aku tiada pilihan lagi. Air mata aku semakin lebat. Pipi aku basah. Kedinginan malam mula menampar kulit bahu ku yang terdedah. Baju ku sedikit rabak angkara lelaki durjana itu.


Seorang lelaki lewat dua puluhan tiba-tiba keluar di antara konco-konconya dan maju ke arah ku. Kim Jongin alias Kai, dialah bekas majikan ayah dulu. Dan aku tak sangka ayah berhutang pada dia sampai sanggup gadaikan maruah ku. Tajam dia menjamah wajah dan tubuh ini. Aku melangkah ke belakang bila dia makin mendekat. Aku peluk tubuh ku yang terdedah. Bibir ku ketap tak mahu esak ku terlepas. Takutnya aku Tuhan saja tahu.


"Kenapa sayang lari, hm?" Dia melari-larikan tangan ke leher aku. Tak suka cara dia, lantas aku tepis tangan dia. Kasar. Aku beranikan diri menentang pandangan dia. Kalau tak fikirkan perasaan takut ini, sudah aku ludah ke muka itu.


"Aku suka perempuan jenis kasar macam kau." Dia tersenyum sumbing. Bibir aku dia usap guna ibu jari. Tangan dia kemudian jatuh pada bahu ku yang terdedah. Aku pejam mata rapat-rapat.


"Jangan Encik!" Bergetar nada ku. Aku menggeleng laju tapi mata ku masih terpejam.


Dia tak endah rayuan aku. Langsung tiada sifat perikemanusiaan dalam diri lelaki ini. Tubuh aku sudah terkunci di dinding. Sukar untuk aku bergerak. Tiada jalan untuk aku keluar lagi. Terketar-ketar seluruh tubuh ini bila terasa ada sesuatu yang lembut hinggap di pangkal leher ku. Terbuka luas mata aku. Jijik dengan diri sendiri. Aku tak boleh biarkan dia ambil mahkota ku.


Aku guna tenaga yang tinggal ini. Mengangkat tinggi kaki yang tersarung kasut tumit lima inci lalu aku pijak kaki dia dengan sepenuh hati. Automatik dia mengerang sakit dan menunduk, memegang kaki sendiri. Di kesempatan itu aku cuba untuk meloloskan diri meski aku tahu ada lagi halangan yang terpaksa aku tempuh. Belum pun aku berlari jauh, konco-konco Kai dah pun mengepung aku. Di sinikah riwayat aku bakal ditamatkan?


"Hei, perempuan! Mana kau nak lari hah?!" Jerkah dia dari arah belakang. Rambut ikal mayang aku dia tarik sekuat hati. Marah dan rasa tercabar dengan perlakuan aku tadi barangkali. Aku cuba rungkai tangan kekar dia di rambut aku. Berkerut muka aku tahan sakit.


"Jangan buat saya macam ni. Tolonglah, encik. Saya merayu pada encik. Lepaskanlah saya." Rayu aku sepenuh hati. Dia mendengus kasar.


"Bapa kau tu berhutang dengan aku bukan sikit. Banyak kau tahu tak banyak? Tapi dia tawar kau, anak dia pada aku demi lunaskan hutang dia. Nak tahu kenapa aku tak tolak tawaran dia? Sebab kau ni pun boleh tahan juga. Orang kata, rezeki jangan di tolak. Jadi kau tak payahlah nak pasang angan-angan yang aku akan lepaskan kau semudah tu.


Sebab kau milik aku malam ni dan hutang bapa kau kira selesai. Dan kalau kau berani buat macam-macam—" Hujung bibir dia terjungkit. Tajam senyuman dia. Aku jatuh terduduk di atas jalan tar. Longgar skru lutut ku. Sampai hati ayah buat Reisa macam ni!


Dia duduk mencangkung di depan aku. Senyuman dia masih tajam. Rambut aku dia belai-belai sebelum dagu ku dipagut kasar. Memaksa aku memandang ke wajah dia. "..aku takkan teragak-agak bunuh dia. Dan, kau tak terkecuali." Sambung dia keras.


Murah sekali air mataku malam ini. Dan seperti orang bodoh, aku biarkan saja perlakuan dia atas diri aku. Tubuh aku dia cumbui rakus dan aku, langsung tiada daya hendak melawan tenaga lelaki dia. Sungguh, aku tak pernah rela. Hati ini menjerit nama dia, lelaki yang aku puja. Berharap ada keajaiban dalam hidup aku. Di mana dia muncul di sini untuk membantu.


Sehun..


******


"DUA malam lepas aku nampak dia masuk kelab malam lagi."


"Betul ke kau ni?"


"Buat apa aku nak tipu? Ni, mata aku ni ha nampak sendiri. Pakaian dia tak semenggah langsung. Ada lelaki lagi tu sebelah dia."


"Gilalah!"


"Apa dia dapat jadi pelacur?"


Dang! Hati ini bagai di carik-carik. Pelacur. Gelaran yang dah sebati untuk diri aku semenjak aku jejak kaki ke sekolah ini. Tak ada apa-apa aku mampu lakukan pada saat ini selain tulikan saja telinga. Aku dah seringkali hadap hinaan demi hinaan dari mereka. Aku jadi betah dengan keadaan ini. Meskipun sakit, tapi aku akui ada yang benar dengan omongan mereka.


Tapi masih, mereka seperti aku, manusia biasa yang tak diberi apa-apa hak untuk menghukum mahupun menilai seseorang itu dari luaran. Mereka bukan sesiapa yang layak untuk menjatuhkan hukuman ke atas aku. Tahukah mereka, aku juga manusia? Ada hati dan juga perasaan. Mereka langsung tak tahu apa yang sebenar-benarnya terjadi. Sibuk hendak menjaja cerita aku sana-sini. Kepuasan ke yang mereka dapat selepas memburuk-burukkan aku?


Aku cekalkan hati sepanjang melalui kaki lima nak ke pagar utama sekolah. Tak sudah-sudah perlajar-pelajar lain berbisik sesama sendiri. Dah tentu-tentu mengata aku. Jemari aku terasa suam tiba-tiba. Terus mati langkah aku. Pandangan aku jatuh pada jemari kekar yang kini bersulam di jemari runcing ku. Aku mendongak dan dapat aku lihat dia tersenyum.


"Kau ada aku untuk hari ini, esok dan selamanya." Bisikan lembut itu menampar cuping telinga. Aku pegun di situ. Tidak dapat tidak, aku sambut jua senyuman dia.


Sehun masih memimpin tangan aku. Kami sama-sama melangkah melepasi pagar sekolah. Kata dia, tak nak terus pulang ke rumah. Aku pula hanya mengikut saja ke mana rentak langkah dia. Sebab aku tahu, aku akan sentiasa selamat di bawah penjagaan dia. Seperti mana dia lindungi aku dari menjadi mangsa kekejaman manusia seperti Kai dua malam lepas.


"Terima kasih untuk dua malam lepas, Sehun." Ucap aku tulus. Biarpun sudah lebih dari seratus kali aku ucap terima kasih pada dia. Aku benar-benar terhutang budi pada dia. "Kalau kau tak ada malam tu, aku dah..." Dada aku mula berombak. Bibir aku bergetar.


Tak sanggup rasanya hendak meneruskan kata-kata lantaran peristiwa dua malam lepas masih menjadi igauan ngeri buat aku. Sungguh aku amat berterima kasih pada Sehun kerana hadir dalam pada aku hampir di ratah oleh syaitan berupa manusia itu.


"Lari, Reisa. Lari!" Arah Sehun sedikit keras. Tubuh aku yang terdedah, dia sarungkan jaket kulit milik dia. Aku pandang dia dan menggeleng laju. Aku tak nak lari tanpa dia. Tak mungkin aku biarkan tubuh dia di sakiti mereka semua.


Sebentar tadi, konco-konco Kai, Sehun berjaya tumpaskan. Tak kurang ketua mereka yang dah tergolek ke atas jalan tar sambil memegang perut sendiri. Aku boleh nampak Kai sedaya-upaya cuba berdiri menggunakan segala kudrat yang ada. Aku takut untuk biarkan Sehun sendirian menentang mereka yang tak kurang hebat itu. Kalau terjadi apa-apa pada dia, aku tak mungkin dapat memaafkan diri sendiri.


"Larilah, Reisa. Aku takkan apa-apa. Tunggu aku. Dan aku janji akan datang balik pada kau dalam keadaan kau lihat aku sekarang. Kau percaya aku, kan?" Tanya dia lembut. Aku menjatuhkan kepala. Mengangguk. Aku kesat air mata.


"Aku tunggu.. Sehun." Dan dia mengangguk sambil tersenyum.


Sehun kemudian membantu aku untuk berdiri. Dia guard aku sampailah aku lepasi Kai dan konco-konconya sebelum tubuh aku dia tolak menjauhi tempat itu. Dengan hati yang berat, aku lari dengan satu tujuan. Untuk mencari jalan keluar. Aku tak lagi menoleh kebelakang. Dan ketika itu hanya satu saja harapan aku. Aku ingin dia balik pada aku dan jadi sahabat aku dalam keadaan sama seperti kali terakhir aku melihat dia.


"Kalau saja aku tahu lebih awal lagi perkara macam ni akan jadi, aku takkan lepaskan kau pergi masa dekat tasik tempoh hari. Maaf, Reisa. Maaf sebab aku terlambat." Sentuhan lembut di dahi aku telah membawa pergi semua mimpi ngeri itu. Mimpi semalam yang aku mahu sekali hapuskan dari kotak ingatan aku. Tubir mata terasa panas.


"Terima kasih sebab balik pada aku dalam keadaan selamat malam tu. Tuhan saja tahu betapa aku risau kau akan di sakiti mereka. Kalau apa-apa jadi, aku tak boleh maafkan diri aku." Aku panggung kepala memandang dia yang melebihi ketinggian ku.


"Kau tunggu aku dan masih sudi payungi aku malam tu."


"Sebab aku pegang kata-kata kau dan aku percaya kau akan balik pada aku semula. Tekad aku mula-mula kita kenal, aku akan terus payungi kau meskipun diri ini tak berpayung, Sehun."


Tekad yang aku dah tanam semenjak sepuluh tahun lalu. Selalu aku berdoa agar kedukaan dia berpindah pada aku. Biar sakit dia, aku yang rasa. Bahagia aku, biarlah menjadi milik dia saja. Dan demi dia, aku rela korbankan segalanya. Kalaupun aku terpaksa pertaruhkan hidup mahupun nyawa aku sendiri. Aku sanggup lakukan itu!


"Bukan hari ni, Reisa." Aku berkerut.


Sehun melorotkan beg galas dari bahu. Zip di buka lalu tangan dia seluk ke dalam. Mencari sesuatu yang aku tak pasti apa. Aku hanya perhatikan kelakuan dia. Sesekali aku membuang pandang ke jalan lengang ini. Hati ini semenjak keluar dari pagar sekolah lagi terdetik sesuatu. Terasa langkah aku dan dia seperti di perhatikan. Boleh jadi perasaan aku saja.


"Sakit-sakit pun, kau yang selalu payungi aku. Selama ni, aku tak pernah payungi kau seperti mana kau selalu lakukan pada aku. Dan untuk hari ini, biarkanlah aku payungi kau pula."


Di tangan dia ada sekaki payung. Aku mula faham maksud dia yang ingin payungi aku hari ini. Dia beralih ke tepi sedikit untuk membuka payung tersebut. Aku pula menengadah ke langit yang tiba-tiba berubah kelabu pekat. Hujan mula merintik. Seketika, aku meluruskan semula pandangan dan saat itu nadi aku seakan terhenti berdenyut. Aku gamam. Langsung aku tak benarkan Sehun bergerak seinci pun.


"Kekal berdiri dekat situ. Jangan bergerak, Sehun." Ini lebih kepada amaran.


Mata aku masih terhala pada lelaki berpakaian serba hitam di seberang jalan sana. Di tangan lelaki tersebut ada sepucuk pistol. Laras pistol dihalakan tepat ke tepi kepala Sehun. Aku kenal orang tu. Kai. Aku nampak dia tersenyum penuh tajam. Pandangan dia seolah-olah menghantar maksud;


"Kalau aku tak boleh miliki kau. Dia juga tak boleh miliki kau." Menggigil seluruh tubuh aku.


"Aku merayu jangan bergerak. Jangan, Sehun!" Aku melirik Sehun yang cuba bergerak dari tempat dia berdiri. Aku geleng pada dia. Dia hiraukan amaran aku dan ingin melihat apa yang aku pandang tadi. Tapi sempat aku melelar lengan dia. Juring mata aku basah.


"Kau ingat lagi tak janji aku dulu pada kau untuk selalu payungi kau meskipun aku sendiri tak berpayung?" Lambat-lambat dia mengangguk. Aku tersenyum. "Hari ini, aku minta maaf andai aku terpaksa mungkiri janji aku. Maaf andai tiada lagi hari esok buat aku untuk menjadi payung yang kau selalu teduhi. Maaf juga andai tangan ini, tak akan lagi mampu bergerak untuk seka air mata kau seperti selalu." Berkerut-kerut muka dia pandang aku.


"Ingat seperkara ni sampai bila-bila, ya?" Aku tarik nafas dalam dan hembus perlahan. Menyeru kembali kekuatan dan semangat yang kian memudar. "Aku sayang kau. Aku cinta kau. Dan demi kau, aku rela lakukan apa saja. Termasuk pertaruhkan nyawa aku sendiri." Aku mengulum senyuman buat dia sebelum pandangan ku beralih di seberang jalan sana.


"Apa yang kau cuba buktikan pada aku, Reisa? Siapa yang kau pandang? Kau buat aku takut." Sehun gusar. Wajah dia benar-benar kebingungan.


"Jangan, Sehun!"


Tak peduli lagi dengan amaran keras aku, dia langsung toleh ke seberang jalan sana. Serentak, sedas tembakan dilepaskan. Tanpa berfikir panjang, aku segera menolak tubuh dia ke tepi. Ya, demi dia aku rela korbankan apa saja. Meskipun aku terpaksa mempertaruhkan nyawa aku sendiri. Kerana sayang aku pada dia, melebihi segala-galanya.


"Reisa!"


Terus dia berlari ke arah aku yang terkulai di bahu jalan. Payung di pegangan dia sekejap tadi betul-betul duduk di sebelah tubuh aku. Terbang angan-angan dia yang ingin payungi aku. Terasa kepala ku di pangku oleh dia. Luka tembakan di rusuk kiri aku dia tekap dengan tapak tangan. Menghalang cecair merah dari terus memancut keluar. Dan aku tahu dia sedang menangis. Menangis meratap aku yang kini terkulai layu di pangkuan dia.


"Kalau soal hidup dan mati ni, aku tak pernah minta kau buat. Tapi kenapa, kenapa hari ni kau perlu buat? Tembakan tu sepatutnya untuk aku. Bukan kau, Reisa. Bukan kau!" Dia menggeleng berkali-kali. Tak percaya dengan apa yang telah aku lakukan. Aku pegang pipi dia. Aku cuba ukir senyum pada dia meskipun payah.


"Dekat tasik tempoh hari, kau tanya aku siapa dia yang aku maksud tu—" Cerita dia tanpa aku pinta. Dia genggam jemari aku di pipi dia, "..bukan Jina." Dia menggeleng sendiri.


"Bukan dia perempuan aku maksud tu. Tapi dia, orang yang tak pernah mengeluh dalam melayan karenah aku. Dia, orang yang tak pernah kenal erti lelah dalam payungi aku meskipun diri dia sendiri tak berpayung. Aku sayang dia sangat-sangat. Aku cinta dia!" Air mata jantan dia jatuh di pipi ini.


Aku tak pernah tahu bahawa akulah perempuan yang dia maksud selama ini. Terima kasih Sehun kerana sedarkan aku yang cinta ini tak pernah bertepuk sebelah tangan. Aku cuba senyum lagi pada dia. Tapi pipi ini terasa kejung. Nafas aku mula tersekat-sekat. Aku terbatuk kecil. Serentak, darah pekat mengalir di celah bibir. Baru kini aku tahu macam mana seksa keadaan ibu sewaktu ketika dia selamatkan aku dari di hentam kereta tiga belas tahun lalu. Ini saat-saat akhir aku sebelum menghadap kematian.


"Le-lepaskan aku, ya? Aku le-letih."


Kian lebat air mata jantan dia jatuh menyapu wajah. Kalau dulu, aku yang selalu hapuskan air mata dia ketika dia berduka tapi kini aku tak lagi mampu berbuat begitu. Tangan ini juga tak mungkin lagi mampu payungi dia seperti selalu. Sayu dia memandang aku yang dah berlumuran darah ini. Aku nampak dia mengangguk antara rela dan tidak. Dan perkara terakhir aku dengar dari mulut dia sebelum mata ini terpejam selamanya..


"Kalau betul kau tak boleh tahan lagi, pergilah. Aku ikhlas lepaskan kau. Kau payung aku yang paling istimewa. Dan ingatlah seperkara ni sampai bila-bila, aku sayang kau melebihi segala-galanya. Tunggu aku. Aku janji aku akan datang pada kau semula."


Kau telah sedarkan aku yang cinta ini tak pernah bertepuk sebelah tangan. Andai ini takdir buat kita berdua, aku ikhlas melepas kau pergi. Betul, sayang seseorang tu, kita tak perlu pun cakap pada dia tapi dia perlu merasakannya sendiri. Dan sebesar mana sayang aku pada kau, biar Tuhan saja tahu. Kau pernah sempurnakan aku, Reisa. Terima kasih.— Sehun


******


about
me and my blog

b2uty bbc army stan

dark grey is only b2st and b2uty. true b2uty needs no color- let's dive into the grey ocean. with b2st. since 2009.10.16

yellow and black? it's bbc, bitch. block b club, duh. they're drunk hoes but bae as fuck .

army. fuck yeah, why not. they're my bias wrecker. i can't stand them. its bangtan boys doe. who are you kidding?

stan. maybe none of you kpoppers know what stan is but stan is our rap god, eminem's fandom - based on one of his song, "stan". normal? fuck being normal, i'm a stan, and a stan is never normal. #eminem is number 1. why be a king, when you can be a god?
faziera misri.